Tuesday, November 3, 2009

KOMPOSISI 13579 ( JEndela )


Sejuk benar udara di jendela kamar itu sehinggakan menusuk ke tulang rasanya. Tetapi, bagi Qis yang telah dua tahun menghirup udara pagi di jendela itu, tiada apa rasanya. Musim luruh yang makin berlalu bagaikan meminta seluruh alam merinduinya dan mencemburui musim sejuk yang bakal tiba. Lihat sahaja dari suramnya tiupan angin pagi itu dan gugurnya satu per satu daun dari pohon maple di hadapan rumah En.John di seberang jalan St Louise itu. Tidak banyak yang Qis tahu tentang keluarga En. John kerana mereka itu penganut kuat agama Kristian dan secara jujurnya, mereka sedikit prejudis terhadas gadis bertudung seperti Qis. Semenjak trajedi berdarah 11 September di kota New York, kehidupan Qis di kota London juga terkesan. Qis masih bingung, mengapa di dijeling dan dipandang seperti seorang yang bersalah biarpun orang lain yang melakukan kekejaman itu? Lumrah dunia untuk membenci yang buruk dan menyukai yang baik, namun, wajarkah insan lain dibenci kerana dosa orang lain?

Qis teringat kata-kata tokoh bangsa Afrika-Amerika, Martin Luther; “jangan kita mentafsir seseorang dari warna kulitnya, tapi lihatlah dari karektor orang itu”. Kadang-kadang Qis tersenyum sendiri apabila memikirkan keadaan dunia hari ini. Manusia makin berubah apabila dunia berubah menjadi lebih ligat. Tiada yang terkecuali dari menjadi sebahagian daripada cerita hidup dunia.

Pernah juga Qis bertanya kepada teman-teman Inggerisnya, “ mengapa kamu tidak takut dan benci pada kau?”. Teman-temannya menjawab, “ tiada apa yang harus kami takutkan pada engkau kerana engkau adalah Qistina dan bukan pengganas”. Binggung rasanya apabila terfikir kata-kata mereka itu. Jelaslah, bagi satu bangsa yang berjaya seperti mereka, hanya yang dilihat benar-benar membunuh barulah digelar si jahat dan yang mungkin membunuh dalam diam tidak pernah ditunding sebagai si jahat. Walhal, mereka tahu, siapa yang menjadi minyak yang menyemarakkan api yang menyala marak dalam jiwa sebahagian bangsa mereka yang membenci saudara-saudara Qis yang terlanjur itu. Bagi yang lebih terbuka pula, cuma senyum dan sokongan yang mampu diberikan sebagai tanda mengiyakan kehadiran Qis dalam komuniti mereka. Biar canggung rasa hati untuk menerima sapaan mereka, tapi Qis cuba menjadi insan yang tidak hipokrit. Dia membalas setiap sapaan kerana bagi Qis, “orang berbudi,kita berbahasa; orang memberi,kia merasa”.

Tidak terlalu melampau kiranya jika Qis mengaku, dia rasa terharu dengan sikap segelintir bangsa asing itu yang lebih prihatin tentang bagaimana perhubungan harus dijaga. Bukan seperti segelintir bangsa setanah dengannya di sana, yang lebih gemar menjadi aku dan engkau tanpa merestui kehadiran kita di dalam lingkungan persahabatan itu. Mungkin mereka telah hilang rasa sayang kepada orang yang sama adab bersimpuh dan bersila seperti mereka.

bersambung...

No comments:

Post a Comment